Dalam penulisan ini, saya lontarkan kepada para pembaca tentang pencemaran bahasa kita iaitu Bahasa Melayu. Bahasa ibunda kita ini tidak dicemari oleh bangsa lain tetapi yang malangnya dicemari, dicacati, dirobek, diporakkan dan banyak lagi kerenah dilakukan oleh bangsa sendiri.
Saban masa dan ketika, kita melihat bahasa ibunda ini seperti dipermain-mainkan dalam penulisan sehingga apa yang saya lihat ianya bukan lagi menjadi bahasa rasmi tetapi bahasa kolokial yang begitu jelek dilihat. Perkara ini, bukanlah satu polemik tetapi sudah dimaktubkan, namun begitu ketetapan tersebut cuba dipolemikkan sehingga pada hari ini. Apa yang dimaksudkan ialah penggunaan bahasa ibunda dalam petuturan dan lebih-lebih lagi dalam penulisan.
Pada hari ini begitu banyak berlaku pencemaran bahasa kita sendiri yang melibatkan penulisan. Apabila dilihat melalui penulisan-penulisan dalam khidmat pesanan ringkas, memo, e-mail dan banyak lagi medium penulisan yang berbentuk tidak formal, orang kita suka merosakkan bahasa sendiri sehingga menimbulkan kekeliruan dalam konteks pemahaman. Kita tidak berani membuat kerenah terhadap bahasa Al-quran dengan cuba ditulis dalam bentuk apa yang kita lakukan seperti mana bahasa ibunda kita, kita sudah maklum apa yang bakal kita perolehi jika kita melakukannya. Tetapi mengapa kita sewenang-wenangnya memperlakukan bahasa ibunda kita sedemikian rupa sehingga mencacatkannya dan menjadi caca merba yang penuh dengan kekeliruan.
Ingatlah bahasa jiwa bangsa, bahasa berkait dengan budi bahasa, bahasa melambangkan bangsa. Namun begitu tidak salah jika kita menulis dan bertutur dengan loghat daerah yang kita wakili, kerana ia merupakan bahasa rasmi dalam satu-satu daerah dan boleh diterima pakai.
Sebenarnya menjadi satu kesalahan jika kita menulis `sy’, `tp’, `bgm’, `btt’, `xpe’ dan entah apa-apa lagi dan yang jelas melambangkan satu usaha tidak langsung mencacatkan bahasa sendiri. Kita akan terbawa-bawa dengan apa yang kita laku pada masa kini yang mungkin akan menjadi tabiat yang tidak wajar diamalkan dalam kehidupan. Tambahan pula kita sebagai Islam, menggunakan bahasa untuk menyampaikan dakwah kepada yang perlu dipimpin merupakan medium utama, bagaimana boleh berjaya jika kita berjongkang-jongkit dalam berbahasa. Kita memerlukan bahasa yang indah dan penulisan yang jelas, pada saya bahasa Melayu cukup indah jika dikaji dan dilihat dari aspek estetikanya.
Ini jelas seperti mana yang ditulis oleh Tun Seri Lanang dengan Kitab Silaltus Salatin (Sejarah Melayu). Jika kita membacanya, terasa keindahan dan kesenian penulisan selain dapat mengetahui budaya hidup bangsa sendiri. Ingatlah Assyahid Syed Qutb, menulis `Fi Zillalilquran’, betapa indahnya bahasa yang digunakan, sehingga apabila kita mentelaahnya boleh mengalir air mata. Begitu dalam dan bermaknanya, ulasan beliau dengan penggunaan bahasa yang cukup sempurna menyentuh kalbu dan membuka pemikiran yang jelas tentang kebesaran Allah. Inilah peranan bahasa dan sayangilah bahasa kita, jangan kita memandang remeh kerana ingin mudah dan cepat. Akhirnya tanpa disedari kita menggadaikan maruah bahasa, terus sepi dan tidak bermakna lagi. Apa yang pahit janganlah terus dibuang dan yang manis janganlah terus ditelan,
Cubalah sahabat-sahabat fikirkan.
Wallahualam.