Sabtu, 13 Mac 2010

kisah kau dan aku

"jadikan kisah ini sebagai kisah yang sebelum2 nie menjadi rutin dalam kisah hidup manusia"

Sedar tidak sedar, sudah 3 tahun saya mengenali awak. Tak pernah saya terfikir peristiwa memalukan saya terjatuh ke dalam longkang membuat hati kita bertaut. Terima kasih kepada Allah kerana mentakdirkan saya terjatuh dan terima kasih juga kerana Allah menggerakkan awak untuk mentertawakan saya. Jika tidak, hubungan kita tidak mungkin sampai sejauh ini. Siapa pernah menyangka peristiwa sekecil itu mampu mengikat hati dua insan. Walaupun saya dan awak masing-masing berjauhan, teknologi benar-benar mengikat kita.

Saya sedar, hari demi hari saya semakin menyenangi kehadiran awak dalam hidup saya. Saya bersyukur atas hubungan ini. Bersyukur kerana kita bukanlah seperti pasangan kekasih lain. Awak tidak pernah mengucap kata rindu, apatah lagi kata sayang. Seingat saya sepanjang 3 tahun ini, tidak sampai 5 kali kita bersua muka. Itupun tatkala awak dan keluarga datang beraya ke rumah saya. Saya juga bersyukur ibu bapa kita saling meredhai persahabatan kita. Hari demi hari, kita semakin matang. Saya semakin mengenali dunia, semakin mendalami ajaran Islam sebenar. Dulu, saya fikir hubungan kita tidak salah. Ya, memang tidak salah dari pandangan mata luar. Namun jujur jauh di sudut hati saya, saya sering merindui awak biarpun tiada siapa antara kita yang pernah melafazkannya. Pernah saya angankan awak menjadi pembimbing keluarga saya kelak. MasyaAllah, begitu jauh saya lalai. Kata-kata seorang teman suatu waktu dulu benar-benar mendorong saya berfikir panjang. “Zina hati sememangnya kelihatan kecil, namun dosanya tetap sama”.

Astaghfirullah…saya beristighfar panjang. Dengan segala kekuatan yang ada, saya katakan kepada awak. “Jangan hubungi saya lagi melainkan awak bersedia mengahwini saya”. Saya sendiri tidak pasti dengan apa yang saya lakukan. Saya sedar awak pasti kebingungan dengan kata-kata saya kerana antara kita sememangnya tiada yang istimewa. Saya juga sedar hakikatnya, awak juga punya perasaan terhadap saya biarpun awak mebisu seribu bahasa. Hubungan kita terputus begitu sahaja. Enam bulan berlalu dengan amat sukar bagi saya. Setiap hari saya berdoa semoga Allah permudahkan segala yang terbaik untuk saya, semoga Allah permudahkan jika apa yang saya lakukan benar-benar keranaNya. Ingin saya katakan, betapa sukar melupakan awak. Dalam kesibukan saya melupakan awak, tiba-tiba saya dikejutkan dengan rombongan peminangan. Andai awak dapat melihat hati saya, pastinya awak tahu betapa terkejutnya saya. Ya, awak tunaikan permintaan saya. Awak datang lagi ke rumah saya, tapi kali ini dengan sebentuk cincin. Sekarang saya sudah sah menjadi permaisuri hidup awak. Sekarang saya bebas merindui awak tanpa rasa berdosa, saya bebas berbicara dengan awak tanpa rasa bersalah dan saya bebas menyayangi awak kerana awaklah pembimbing hidup saya. Terima kasih Allah ikatkan kita dengan tali perkahwinan biarpun pada usia muda remaja.

Terima kasih Allah menghadirkan awak sekali lagi dalam hidup saya.